Maritim Perak tahan 20 nelayan warga asing

Berita Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan 20 nelayan warga asing di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Laut Pulau Mentagor, Pangkor, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua nelayan itu ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki melanggar undang-undang kira-kira jam 7.00 petang.

Menurutnya, bot terbabit dikesan pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Tiris an Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Perak.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati, bot berkenaan dikendali seorang tekong yang dibantu seorang kru warga Thailand yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Bagaimanapun 13 lagi warga Myanmar dan lima kru warga Kemboja memiliki dokumen meragukan dan telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, kesemua mereka yang berusia antara 27 hingga 60 tahun kemudiannya ditahan, manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi masa yang ditetapkan.

Beliau menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.