Maritim Perak rampas 32 set bubu naga di perairan Perak

Berita Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak telah merampas sebanyak 32 set bubu naga di kedudukan sekitar 0.2 batu nautika tenggara Kampung Baharu, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bubu berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai itu dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia.

Katanya, terdapat pelampung yang mencurigakan terapung di permukaan air dan disyaki penanda kepada bubu naga di perairan berkenaan.

“Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan pelampung tersebut dijadikan sebagai penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas Mohd Hambali, Maritim Perak akan menggandakan rondaan dan tidak akan berkompromi mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru supaya terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.