LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah membantu memindahkan seorang kru vesel nelayan tempatan (VNT) yang cedera patah kaki di 53 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mangsa warga Thailand, Bunkrong, 59, dilaporkan cedera di kaki kiri ketika melakukan kerja harian di atas VNT itu pada 7.40 pagi.
Justeru, katanya, medical evacuation (MEDEVAC) iaitu memindahkan mangsa ke lokasi lain untuk tujuan rawatan telah dilaksana.
“Maritim Perak telah menggerakkan aset ke lokasi kejadian bagi bantuan pindahkan mangsa dari VNT ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh.
“Mangsa dibawa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Seri Manjung sekitar pukul 12.10 tengah hari.
“Mangsa kemudiannya menerima rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya pada Selasa.
Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.