Malaysia Fest 2024 di Singapura, Perak sasar jualan RM800,000

Berita Perak

PARIT: Kerajaan Negeri Perak menyasarkan nilai jualan RM800,000 daripada lapan usahawan yang menyertai Malaysia Fest 2024 di Singapura hujung bulan ini.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program dari 25 hingga 28 Julai itu turut menyasarkan potensi jualan sekurang-kurangnya RM1 juta.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama FAMA Perak telah bersetuju untuk menaja sebahagian kos penglibatan lapan usahawan berkenaan.

“Kesemua usahawan ini telah mengikuti proses permohonan dan temuduga serta dipilih berdasarkan kemampuan, fokus program dan kapasiti pengeluaran mereka untuk membawa imej produk Perak ke pasaran Singapura.

“Penyertaan ke program seumpama ini juga akan membantu meningkatkan sumbangan ekonomi secara tidak langsung kepada Perak,” katanya pada sidang media Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2024 di Singapura di Dewan Serbaguna Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Zolkafky Harun.

Salbiah berkata, penyertaan ke festival itu dapat membantu mengenalpasti kebolehpasaran dan tahap saingan produk keluaran usahawan negeri Perak di pasaran negara berkenaan.

Ujarnya, program tersebut menyediakan ruang pasaran bagi usahawan tempatan meneroka pasaran eksport melalui Singapura yang merupakan sebuah negara entreport ke pasaran global.

Sementara itu, Zolkafly berkata, program tersebut merupakan kerjasama merentas antara dua portfolio exco dan pelbagai agensi pertanian serta usahawan untuk mengangkat lebih ramai usahawan termasuk usahawan agro meneroka pasaran yang lebih luas.

“Usahawan-usahawan yang terlibat juga turut menerima pelbagai bantuan dan bimbingan dari pelbagai agensi di bawah portfolio saya seperti Perak SADC, Jabatan Pertanian, FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI dan lain-lain,” ujarnya.