Makmal komputer SMK Bawong musnah terbakar

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Bangunan makmal komputer sekolah musnah dalam kejadian kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, di sini pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran itu berlaku di tingkat empat bangunan kelas A yang terbakar sebanyak 50 peratus.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah hari dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dibantu Kuala Kangsar tiba di lokasi 12.45 tengah hari.

“Ketika kejadian berlaku, sesi persekolahan berjalan seperti biasa, namun tiada pelajar di dalam makmal tersebut.

“Bangunan berkeluasan 35×150 itu terbakar, namun tiada mangsa yang terlibat atau mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Sabarodzi, bomba kemudiannya melaksanakan size-up dan mengaplikasi konsep RECEO.

Seterusnya, anggota bomba memadam kebakaran menggunakan 1 aliran 400 kaki, dua pancutan dari sumber air tangki jentera serta pili bomba.

Operasi diketuai PPgB Mohd Azhar Zam Hashari itu membabitkan 18 orang anggota bomba dan tamat sepenuhnya jam 3.25 petang.