IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) menerbitkan buku Laporan Eksekutif Impak Kelestarian Sosial bagi menilai impak sosial yang diterima oleh asnaf dibawah program bantuan zakat yang dijalankan sepanjang tahun 2023.
Peluncuran buku itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena persidangan MAIPk kali ke 230, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak,
Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Syamsul Hazeman berkata, laporan itu memfokuskan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis program dan skim agihan zakat yang diterima asnaf berdasarkan pengukuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menganalisa impak kelestarian sosial mustahik (penerima zakat) melalui MAIPk dengan padanan SDG dan Maqasid Al-Syariah dan merumuskan impak serta kelangsungan mencapai kemaslahatan penerima zakat
dari sudut kesejateraan hidup meliputi makanan, perlindungan, pendidikan, kesihatan serta ibadah.
“Hal ini sebagai langkah penting ke arah menggalakkan tatakelola yang baik dalam pengurusan agihan zakat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, MAIPk akan terus komited dengan peningkatan prestasi kutipan dan agihan zakat dalam negeri Perak serta memastikan penyesuaian perubahan dinamik agar dapat terus releven sebagai institusi pembangunan sosioekonomi ummah sepanjang zaman.
Katanya, buku laporan itu boleh dimuat turun di pautan portal MAIPk https://www.maiamp.gov.my/