LKIM, BHPetrol bantu anak nelayan kembali ke sekolah

Berita Perak

BAGAN DATUK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama BHPetrol membantu 100 anak nelayan dengan memberi bantuan peralatan sekolah.

Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah itu dirasmikan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil di Dewan Datuk Mohammad Jamrah, Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, S. Wasanthee; Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan, Norfajarwati Baharudin: Ketua Pegawai Operasi BHPetrol Fardzi Shah Razali dan Timbalan Pengarah LKIM Perak, Ahmad Aizuddin Ahmad Mustafa.

Pada majlis itu, Muhammad Faiz menyampaikan baucer bernilai RM150 setiap seorang untuk membeli keperluan sekolah, termasuk pakaian, beg dan alat tulis.

Muhammad Faiz berkata, bantuan berjumlah RM15,000 itu diharap dapat mengurangkan kos para nelayan dan memberi kegembiraan kepada anak-anak mereka dalam menempuh tahun baharu persekolahan.

“Ini menunjukkan bahawa LKIM sentiasa memastikan nasib dan masa depan nelayan dan anak-anak nelayan kita terbela.

“Ia juga bagi membolehkan anak-anak nelayan merasai kehidupan yang lebih selesa di masa hadapan,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Menurutnya, LKIM mahu nelayan meneruskan aktiviti tangkapan ikan kerana tidak mahu ia dikuasai oleh warga asing.

Dalam masa sama, katanya, mereka perlu memperingkatkan lagi kehidupan dengan penggunaan inovasi dan peralatan baharu.

Beliau memberi jaminan LKIM akan terus membela nasib nelayan, tanpa mengira sama ada mereka Melayu, Cina mahupun India

“Oleh itu, jangan terbeban dengan isu kaum kerana semuanya akan diberi pembelaan kerana mahu lihat kemakmuran yang dinikmati dapat dikekalkan,” ujarnya.