LKIM bantu peralatan menangkap ikan kepada 136 nelayan di Perak

Berita Perak

SERI MANJUNG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 136 orang nelayan di Kawasan Kerian, Manjung Utara, Manjung Selatan, Pulau Pangkor dan Hilir Perak.

Bantu bernilai RM450,000 di bawah program peningkatan pendapatan nelayan B40 itu disampaikan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil dalam Majlis Rahmah Mesra MADANI di Dewan Serbaguna LKIM Perak di sini.

Antara bantuan yang disampaikan adalah enjin sangkut, tong ikan dan jaket keselamatan.

Muhammad Faiz turut menyampaikan peruntukan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bina baharu dan baikpulih sebanyak RM707,000.

Dalam ucapannya, beliau menasihatkan nelayan agar lebih proaktif dalam usaha memodenkan teknik penangkapan ikan dengan menguasai teknologi perikanan terkini.

“Ia sedikit sebanyak bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan sekaligus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan,” katanya.

Penyerahan bantuan itu adalah bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf
hidup dan kualiti hidup mereka.

Selain itu, bantuan juga bagi meningkatkan kecekapan
serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.

Pada majlis itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan Skim Bantuan Bencana Alam dan
Kebajikan Nelayan kepada Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) yang mewakili 65 penerima nelayan di Perak, bernilai RM60,450.

Bantuan yang diberi adalah termasuk khairat kematian, masuk wad dan bencana alam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah LKIM Perak, N. Sundralingam dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Azri Jaafar.