LUMUT: Seramai lima nelayan warga asing termasuk tekong ditahan di kedudukan 11 batu nautika barat Pulau Buloh, di sini sekitar jam 1.45 tengah hari pada Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata,Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar.
Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun.
“Maritim Perak menahan sebuah VNT kelas C semalam.
“Vesel terbabit dikesan oleh pasukan operasi KM Gagah ketika kapal maritim sedang melaksanakan rondaan di sekitar lokasi itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, VNT itu telah melanggar syarat sah lesen, iaitu menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dan menggunakan nelayan asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada Isnin.
Tambahnya, kesemua kru yang ditahan juga tidak menunjukkan rasa bersalah kerana melakukan kerja berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Justeru katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.
Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan
menangkap ikan turut dirampas serta diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.