Lima jari parah, tangan tersepit dalam mesin pencincang rumput lembu

Berita Perak

TAPAH: Anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan tangan seorang lelaki yang tersepit di dalam mesin pencincang rumput makanan lembu di Jalan Kampung Samy di sini, petang ini.

Lelaki berusia 56 tahun tersepit dari pergelangan tapak tangan menyebabkan kelima-lima jari kiri cedera parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.19 petang.

“Setibanya jentera di tempat kejadian didapati terdapat mangsa tersepit di bahagian tangan pada mesin ‘shreader’ yang dikhaskan untuk menghancurkan rumput untuk menjadi makanan lembu ternakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, komander operasi membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota menggunakan mesin untuk memotong sebahagian besi bagi mengeluarkan tangan mangsa.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM yang turut berada di tempat kejadian untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fadzril Md Noor tamat jam 4.30 petang.