BAGAN SERAI: Seramai lima orang cedera dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan terbabas masuk ke dalam parit dekat Jalan Kuala Kurau, Kampung Parit Jawa di sini hari ini.
Kemalangan tersebut membabitkan kereta jenis Proton Saga dan Perodua Viva.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 8.36 pagi.
Justeru itu, katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bergerak ke lokasi kejadian.
“Terdapat tiga mangsa dari kereta Perodua Viva, seorang cedera di dada dan dua lagi cedera ringan.
“Sementara itu dua lagi mangsa dari Proton Saga turut cedera,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, ketua operasi melaksanakan size-up serta menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa tersepit.
Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.



