Lelaki rentung: Suspek merupakan adik mangsa

Berita Perak

MANJUNG: Polis mengesahkan suspek lelaki yang ditahan setelah dipercayai terbabit dalam kes lelaki rentung di sebuah rumah di Sitiawan pada pagi Rabu mempunyai hubungan adik beradik.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu merupakan adik mangsa.

“Mangsa berusia 46 tahun dan suspek pula 39 tahun, hubungan di antara mereka merupakan adik beradik,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Rabu.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Sitiawan, di sini sehingga menyebabkan seorang lelaki rentung.

Menurut Hasbullah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 2.39 pagi tadi.

Katanya, siasatan mendapati sorang saksi melihat suspek lelaki dikenali telah masuk ke dalam rumah dan terdengar bunyi hentakan di ruang tamu.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung, manakala tujuh lagi terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini pada awal pagi Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.