Lelaki maut, kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

Berita Perak

SIMPANG PULAI: Seorang lelaki berusia 37 tahun maut setelah kereta jenis Perodua Aruz yang dipandunya dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kampung Juang, di sini awal pagi tadi.

Identiti mangsa dikenali sebagai Syarul Azrin Anuar itu didapati tersepit di bahagian pemandu dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 4.40 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai tiba di lokasi jam 4.48 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang telah terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik.

“Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Operasi yang membabitkan seramai tujuh orang anggota itu diketuai oleh PBK II Mohd Zabidi Ramli dan tamat jam 6.30 pagi.