MANJUNG: Seorang lelaki ditahan setelah dipercayai terbabit dalam aktiviti seleweng lebih 13,000 liter diesel bersubsidi di sebuah premis dekat Kampung Acheh, di sini pada Khamis.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, tangkapan itu dilakukan hasil operasi yang dilakukan KPDN Cawangan Manjung pada jam 12.50 tengah hari.
Maklumat berhubung kegiatan itu juga diperoleh hasil risikan selama seminggu di lokasi tersebut.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel berulang kali melalui tangki asal lori disyaki milik premis tersebut di stesen minyak berhampiran.
“Lalu akan memindahkannya ke tangki kontena pukal pertengahan (IBC) untuk kegunaan industri.
“Siasatan mendapati premis itu mempunyai permit menyimpan minyak diesel dan hanya layak membeli diesel tanpa subsidi daripada pembekal berlesen.
“Namun cuba mengaut keuntungan dengan mengambil minyak bersubsidi di stesen minyak secara berulang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak berharga RM2.15 per liter sedangkan harga industri RM3 hingga RM4 per liter.
Selain itu, pemeriksaan turut menemui anggaran sebanyak 13,549 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tiga tangki IBC dan satu skid tank di dalam kawasan syarikat itu,
“Cecair disyaki diesel serta beberapa peralatan lain telah disita untuk tindakan lanjut dan pemilik syarikat
berusia 30-an ditahan bagi siasatan lanjut.
“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM41,913.08,” katanya.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada.
Justeru, katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.