BIDOR: Lebih 800 orang hadir memeriahkan sambutan pesta Ponggal yang dianjurkan oleh sayap Wanita dan Puteri Badan Perhubungan MIC Perak.
Ia diadakan di Dewan Kuil Sithi Vinayagar di sini yang diserikan lagi dengan kehadiran Naib Presiden MIC Kebangsaan, Tan Sri M. Ramasamy dan isteri Puan Sri Indira, sekali gus merasmikan sambutan.
Sambutan tersebut turut dianjurkan bersama pengurusan Kuil Sithi Vinayagar.
Di samping kehadiran Ramasamy yang juga merangkap Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak, ia juga dihadiri oleh Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Sayap Wanita serta Puteri dari 24 Bahagian di negeri ini.
Seperti biasa, tradisi memasak susu serta beras dalam periuk tanah liat sebagai simbol kekayaan dan kebahagiaan melimpah ruah diteruskan.
Di samping itu, penganjur pesta menyediakan pelbagai pertandingan tradisional yang mencerminkan budaya Tamil.
Ia termasuk pertandingan melukis kolam, mengukur kelapa dan pertandingan mewarna lukisan tradisional.
Penganjuran program sedemikian bukan sahaja mengeratkan komuniti setempat, bahkan mewujudkan platform untuk meraikan warisan budaya sambil memupuk perpaduan.
Semestinya ia berjaya meninggalkan seribu satu kenangan manis kepada pengunjung yang hadir, selain meneruskan warisan budaya kepada golongan muda dalam kalangan kaum India.
Pesta Ponggal atau pesta menuai disambut masyarakat India di seluruh negara pada hari pertama bulan Thai mengikut kalender Hindu.
Kebiasannya ia akan jatuh pada pertengahan bulan Januari. Ia dikatakan menandakan permulaan ‘Uttarayana’, iaitu pergerakan matahari ke utara.





