Lebih 5,000 pengunjung meriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina di Taiping

Berita Perak

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di Dataran Warisan Taiping pada Ahad.

Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Dalam majlis yang bermula jam 2 petang itu, lebih 5,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang kaum hadir bagi memeriahkan sambutan.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Majlis diselitkan dengan gimik perasmian menggaul Yee Sang dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim.

Saarani dalam sembah ucapan berkata, perhimpunan pada petang itu membuktikan keharmonian dan kerukunan rakyat berbilang kaum.

Katanya, nilai dan prinsip bersifat universal itu diharap dapat membangkitkan semangat rakyat untuk berusaha menjadikan tahun 2024 sebagai tahun gemilang.

“Saya percaya dengan semangat kerukunan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat, selain kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dapat membangunkan negeri yang aman dan stabil,” katanya.