Lebih 300 penduduk hadiri Himpunan Aman Palestin di Kampung Changkat Tin

Berita Perak

KAMPAR: Hampir 300 penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur mengambil bahagian dalam Himpunan Aman Palestin yang di adakan di kampung itu, pada Ahad.

Mereka berkumpul sejak jam 8 pagi membawa bendera Palestin dan pelekat yang mengecam kekejaman Israel.

Mereka turut berarak dari Dataran Rakyat Kampung Changkat Tin hingga ke Masjid Al-Falahiah sejauh kira-kira 500 meter sebelum berpatah balik ke dataran.

Ketua Kampung Changkat Tin Zainal Abidin Selamat berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap umat Islam di Palestin dan Gaza di samping melahirkan rasa benci kekejaman yang dilakukan Zionis Israel.

Menurutnya, perhimpunan turut disertai penduduk kampung, pertubuhan bukan kerajaan seperti kumpulan silat, rumah ngaji, kumpulan bermotosikal, parti politik dan tadika.

“Kita libatkan kanak-kanak supaya mereka tahu perjuangan umat Islam menentang Yahudi yang zalim.

“Juga supaya timbul kesedaran mereka untuk bersimpati terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak sebaya mereka yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Pengurus Aman Palestin Negeri Perak, Muhassan Abdul Halim, imam dan pemimpin masyarakat.

Perhimpunan turut dipenuhi dengan ceramah dan ucapan wakil-wakil pertubuhan yang mengutuk kezaliman tentera Israel terhadap orang awam di Palestin.

Dalam masa sama, penduduk kampung turut berpeluang menghulurkan sumbangan untuk mengisi Tabung Aman Palestin di samping membeli produk-produk yang dijual.

Zainal Abidin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan perhimpunan itu, termasuk penduduk kampung dan anggota keselamatan.