Lebih 19,000 KIR terima bantuan bulanan RM100 untuk keperluan asas

Berita Perak

IPOH: Seramai 19,012 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025,

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata,
inisiatif kerajaan negeri itu bagi membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar yang boleh digunakan penerima di 291 kedai dan pasaraya panel berdaftar dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.

Menurutnya, sebanyak 1,002 permohonan baharu telah diterima dan 915 permohonan telah diluluskan, dengan Daerah Kinta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 430 permohonan.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan program ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan 20,000 KIS akan menerima Kad Perak Sejahtera.

Terdahulu beliau turut merasmikan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025, yang menghimpunkan 63 perwakilan wanita dari pelbagai latar belakang bagi memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan di Perak.

Saarani berkata, kerajaan negeri berharap agar persidangan itu dapat merumuskan resolusi berimpak tinggi yang menjadi asas kepada dasar-dasar baharu dalam memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan negeri.