Laut, tasik dan sungai sudah ditawan, autisme bukan halangan Nayli cabar diri

Berita Perak

IPOH: Bermula dengan menjadikan aktiviti renang sebagai terapi kepada masalah pembelajaran seperti kesukaran membaca serta ‘mild autisme’ sejak kecil.

Kini Nayli Wafiy Abdul Razak, 15, dari Kampar berjaya mencabar dirinya dengan meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa dalam bidang renang.

Dia yang menghidap Dyslexia, Dyscalculia (masalah ketikdakupayaan pembelajaran) dan mild autisme itu berkata, harapannya untuk berenang di sungai akhirnya tercapai setelah banyak kejayaan diraih di laut serta tasik.

Baru-baru ini dia berjaya mengharungi cabaran renang di Sungai Perak sejauh 11.55 kilometer dengan catatan masa 2 jam 11 minit.

Menurut pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak di Sungai Siput Perak ini lagi, terdapat perbezaan di antara tiga lokasi tersebut.

“Cabaran yang saya lalui sepanjang berenang, kalau di laut ada binatang berbisa seperti ubur-ubur yang menggigit. Airnya ringan dan senang terapung sebab air masin.

“Di tasik pula airnya berat, ada ikan yang gigit manusia manakala di sungai ia ada arus namun lebih mudah untuk berenang dan terapung,” katanya.

Meskipun mengakui dirinya banyak kekurangan berbanding rakan sebaya lain, tetapi remaja dengan semangat waja ini tidak pernah memencilkan diri.

Buktinya, dia mencipta pelbagai kejayaan, baik dari bidang seni mahupun sukan renang.

Antaranya layak ke peringkat akhir Malaysia Got Talent Kids, mendapat pingat gansa dalam Asia Art Festival serta merentasi Selat Labuan iaitu dari Pulau Papan ke Pulau Labuan sejauh 5.7 km.

Selain itu, mendapat tempat ke-8 dalam pertandingan Oceanman di Krabi, Thailand serta pada tahun ini telah dipilih sebagai perenang para negeri Perak.

“Pendek kata, daripada terapi berenang ini banyak kebaikannya seperti saya dapat membaca dan perubahan dari segi akademik serta kehidupan.

“Walaupun saya banyak kekurangan, tetapi ini tidak akan menghalang saya untuk berjaya dalam bidang diceburi dan impian saya untuk berenang di Switzerland,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Saidatul Shuhada Shuib, 46, merupakan sosok penting dalam membentuk kejayaan anaknya seperti sekarang.

Shuhada yang juga guru renang berkata, berenang merupakan antara kaedah rawatan dari sudut psikologi.

“Saya ada buat kajian dan pembacaan mengenai renang, ia mampu menambah baik daya ingatan serta hafalan.

“Banyak perubahan yang saya nampak dalam diri Nayli sejak usia 8 tahun sehingga kini.

“Dikatakan juga berenang boleh membantu untuk menyanyi, secara tidak langsung membantu dari sudut pertuturannya,” katanya yang merupakan lulusan dari bidang Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling.

Harapannya adalah untuk melihat anaknya kelak membantu orang lain yang mahu berenang selain mencapai impiannya selama ini.

“Jutaan penghargaan kepada pemilik Kem Lang Buana yang telah memenuhi hasrat anak saya untuk berenang di Sungai Perak.

“Termasuk pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sentiasa memberi sokongan padu dalam memberi ilmu kepada Nayli, khususnya ketika aktiviti berenang,” katanya.