Kumpulan TT lancar TVET Profesional Tahfiz

Berita Perak

IPOH: Meraikan kemeriahan bulan Ramadan, menjadi rutin tahunan di TAJ International College (TIC), di bawah kepimpinan Pengasas Kumpulan Syarikat TT, Tina Tajuddin melaksanakan pelbagai program.

Antaranya, pelancaran program TVET Tahfiz, Program Iftar Perdana, Khatam Al Quran, Jalinan Kerjasama Strategik bersama 10 NGO, Majlis Berbuka Puasa bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Penghulu-penghulu Negeri Perak, Agihan Bubur Lambuk di sekitar Ipoh dan Program Iftar bersama 500 asnaf, mualaf dan anak yatim.

Majlis diraikan bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan mendidik serta mendorong masyarakat menyertai aktiviti-aktiviti kerohanian.

Kegiatan ibadah, penghayatan ilmu, bantuan kepada golongan mustad’afiin dan asnaf menunjukkan ketinggian komitmen Kumpulan Syarikat TT dalam menyampaikan risalah islam dan saling membantu golongan yang memerlukan.

Tina dalam kapasitinya sebagai Pengasas Kumpulan Syarikat TT yang merupakan syarikat bumiputera yang mempunyai anak-anak syarikat dalam sektor pendidikan dan perkhidmatan.

Syarikat menyediakan pelbagai perkhidmatan terutamanya dalam bidang pendidikan, termasuk prasekolah, pusat jagaan kanak-kanak, KAFA, Institusi Pengajian Tinggi serta perkhidmatan pengurusan acara dan sewaan tempat.

Beliau menekankan fokus kumpulan tersebut dalam latihan dan bimbingan usahawan serta memajukan hala tuju pendidikan dan kerjaya pelajar tahfiz untuk membentuk hufaz yang holistik.

Kumpulan Syarikat TT turut menjemput lebih ramai pihak untuk berkolaborasi yang terdiri daripada kerajaan negeri, NGO, sekolah, koperasi, serta persatuan-persatuan untuk manfaat bersama dan pembangunan komuniti yang lebih baik.

Dengan inisiatif-inisiatif ini, Kumpulan Syarikat TT menjadi hub pendidikan, latihan dan bimbingan keusahawanan yang menfokuskan bidang pendidikan, pengurusan dan kemahiran khususnya di negeri Perak yang berpengkalan di Kampus TAJ International College.