KPKT mahu bina 50 taman rekreasi awam setahun

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 50 taman rekreasi awam di seluruh negara dalam tempoh setahun.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata,
projek bernilai RM500,000 setiap satu itu antara lain bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dengan gaya hidup sihat kepada penduduk sekitar.

“Kita bukan sahaja mahu rumah selaras dengan slogan rumahku, syurgaku, tapi juga penting juga, ada taman seperti ini.

“Ini sebagai satu fisioterapi kepada penduduk yang kini menghadapi pelbagai masalah tekanan jiwa.

“Bila ada taman untuk mereka beriadah maka memang dia akan membawa satu faedah yang sangat menonjol,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Rekreasi Woodland di Tambun Baru Tambun, pada Selasa.

Menurutnya, untuk Perak sahaja, sebanyak 22 taman rekreasi awam akan dibina tahun ini, melibatkan kos RM10 juta.

Kor Ming berkata, bagi melibatkan komuniti setempat, kementerian menggalakkan orang ramai menyumbangkan benih pokok yang kemudiannya akan dinamakan atas nama keluarga mereka.

Langkah itu, menurutnya, inisiatif tersebut boleh mengurangkan vandalisme kerana adanya sifat kepunyaan.