KPKT kesan ramai pemilik rumah PPR sewa pada pekerja asing

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesan ramai pemilik rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan unit-unit mereka kepada pekerja asing, termasuk pendatang asing tanpa izin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengingatkan mereka bahawa perbuatan itu melanggar perjanjian yang telah dibuat.

Sehubungan itu, tegasnya, kementerian akan menguatkuasakan undang-undang dan melakukan operasi besar-besaran tidak lama lagi.

“PPR adalah projek perumahan sosial yang menerima subsidi yang besar.

“Saya bagi contoh, kos kita hampir RM300,000 tapi pembeli hanya membayar RM45,000.

“Dengan kata lain setiap unit rumah tuan-tuan bayar RM240,000 lebih untuk subsidi untuk mereka.

“Apabila mereka memohon, alasannya adalah mereka tak ada rumah, bila dah dapat, tak duduk pula, sewa pada orang lain.

“Jika keadaan sedemikian berterusan, saya berasa amat kesal, sampai hari kiamat pun masalah kekurangan rumah tidak akan mampu selesai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan jalan utama Bandar Seri Botani, di sini, hari ini.

Kor Ming berharap semua pemilik PPR wajib menduduki dan mematuhi syarat-syarat dalam kontrak yang telah dipersetujui.

Menurutnya, KPKT tidak akan berkompromi dengan tindakan menyewakan rumah PPR kepada pekerja asing, lebih-lebih lagi pekerja asing tanpa izin.

Pada majlis itu, beliau merasmikan jalan utama Bandar Seri Botani sepanjang enam kilometer yang telah diturap semula dengan perbelanjaan RM1.8 juta, sebelum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh untuk penyelenggaraan.