KPDN tetap pantau harga ayam walaupun tidak tersenarai SHMMP

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak tetap akan memantau harga ayam segar di pasaran walaupun tidak tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)
Aidilfitri 2024.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, ayam segar tidak dimasukkan dalam senarai kerana bekalan di negeri ini mencukupi.

Menurutnya, harga ayam segar di pasaran ketika ini juga stabil berdasarkan pemantauan yang dilakukan.

“Sebab itu kali ini ayam tidak termasuk dalam barang kawalan ini. Tapi kalau ada masalah bekalan atau harga terlalu tinggi, sila maklumkan kepada KPDN dan kita akan ambil tindakan segera.

“Pada tahun ini sebanyak 19 daripada 22 jenis barang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging ditetapkan harga maksimum untuk SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 di Perak,” katanya kepada pemberita.
ketika Sesi Tinjauan Mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Kah Leong berkata, seramai 169 penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga akan melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik.

Jelasnya, antara lokasi tumpuan termasuklah pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.

Sementara itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, Jualan Rahmah Aidilfitri turut laksanakan di 39 lokasi di seluruh negeri Perak.

Katanya, jualan tersebut bermula hari ini sehingga 8 April melibatkan barang-barang keperluan seperti ayam, daging dan barang-barang memasak sempena Aidilfitri.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi kejadian di laman sosial KPDN Perak.