IPOH: Sebuah kilang biskut di Gunung Rapat dekat sini dikenakan tindakan setelah didapati memiliki barang kawalan iaitu tepung gandum melebihi had simpanan ditetapkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan itu dilakukan pada Rabu sekitar 10.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan menyeluruh mendapati kilang terbabit telah menyimpan tepung gandum melebihi had dibenarkan sebanyak 5,875 kilogram (kg).
“Operasi ini adalah hasil pemeriksaan di beberapa buah premis sekitar Ipoh.
“Ketika pemeriksaan dilakukan di kilang memproses pelbagai jenis biskut itu, ditemui sejumlah tepung gandum disimpan di stor.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang memiliki permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum dengan had kuantiti simpanan dibenarkan sebanyak 5,000kg,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru itu, katanya sebanyak 235 beg bersamaan 5,875kg tepung gandum disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM16,181.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan gagal mematuhi arahan yang diberikan di bawah permit yang dikeluarkan.
Iaitu menyimpan barang kawalan berjadual tepung gandum melebihi had simpanan ditetapkan.


