GERIK: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera setelah lori kontena yang dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu terbalik dalam longkang hari ini.
Kejadian tersebut berlaku berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Lebey, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini sekitar jam 10.40 pagi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pemandu lori itu cedera di bahagian kaki akibat tersepit, sementara kelindan pula tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 30-an.
Ujarnya, seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa yang maut cedera di kepala dan disahkan maut oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ketua operasi melaksanakan size-up dan mengarahkan anggota melaksana kerja-kerja menyelamat di samping mengeluarkan mangsa.
“Mangsa cedera diserahkan kepada petugas KKM dan yang maut kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.



