Kekurangan bekalan beras tempatan bukan kes terpencil – Syed Abu Hussin

Berita Perak

TAIPING: Dakwaan kekurangan bekalan beras puteh tempatan di pasaran merupakan kes terpencil adalah tidak tepat, kata Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Negara Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, tinjauan yang dijalankan oleh Pengerak Madani di pasar raya terkemuka di 30 lokasi seluruh negara gagal menemui bekalan beras itu.

Menurutnya, berkala yang dijalankan skuad pemantauan berkenaan pada 20 Februari, 4, 7 dan 15 Mac lalu turut mendengar keluh-kesah rakyat mengenai kesukaran memperoleh beras tempatan berharga RM26 bagi berat 10 kilogram.

“Maklumat yang dimaklumkan oleh mana-mana menteri mengatakan bahawa kes ini terpencil sebenarnya tidak, kes ini kes besar, semua rakyat mengeluh kerana ketiadaan beras putih tempatan yang dijual pada harga RM26

“Ini saya boleh sahkan dengan beberapa tinjauan sebelum ini pada 20 Februari, 4, 7 dan terbaharu hari ini 15 Mac, itulah keadaannya dan saya sangat bimbang terhadap respon terutamanya kementerian terlibat untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau ditemui sempena Program Berbuka Puasa Anjuran Ketua Task Force NACCOL merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, di sini, hari ini.

Beliau bimbang, sekiranya tiada langkah agresif diambil oleh kementerian berkenaan, rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan kos yang ditanggung masa kini.

“Isu makanan dan lain-lain akan turut terlibat pada musim Ramadan dan menjelang Aidlfitri apabila tiada langkah agresif dibuat oleh mana-mana kementerian terlibat maka rakyat akan dibeban dengan kos yang makin tinggi.

“Sekarang kos sara hidup semakin tinggi, barang keperluan makin naik dan beras makanan ruji masih belum diselesaikan kerajaan, jadi saya bimbang rakyat terus susah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi NACCOL yang amat prihatin terhadap kos sara hidup, mengambil kira dengan serius kehendak rakyat.

Syed Abu Hussin turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dijemput menghadiri sesi libat urus yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ekoran dari itu, katanya, beliau masih mendapat gambaran yang jelas sebenar walaupun Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan dilibatkan dalam libat urus setiap minggu.

Walaupun demikian, kata Syed Abu Hussin, beliau akan membentangkan dapatan pihaknya pada mesyuarat NACCOL yang dijadualkan 20 Mac ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran pada masa kini hanyalah kes terpencil dan membabitkan beberapa kawasan sahaja.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, NACCOL akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu kekurangan bekalan itu.