Kebanyakan jenayah di Perak dilakukan orang dikenali – Polis

Berita Perak

IPOH: Kebanyakan jenayah yang berlaku di Perak sejak kebelakangan ini dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa, termasuk ahli keluarga.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, antara kes jenayah itu termasuklah yang melibatkan ugutan, seksual dan kekerasan.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis telah melakukan pendekatan yang berbeza, sesuai dengan trend jenayah yang telah berubah.

“Jadi perkara-perkara ni, sekarang ni, kita memikirkan jenayah ini dan yang kita pergi ronda, ronda sini, itu sebahagian kerja polis, tetapi sekarang ni trend jenayah berlaku dalam keluarga sendiri, di kampung itu sendiri, (oleh) pakcik, makcik dia.

“Jadi PDRM bersama dengan agensi-agensi lain membuat penerangan di masjid, di sekolah untuk mengingatkan mereka mangsa-mangsa ini supaya berwaspada walaupun dia adalah orang yang paling rapat dengan mangsa,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain daripada pegawai perhubungan sekolah, polis Perak juga akan mengaktifkan semula peranan pegawai perhubungan di masjid-masjid seluruh negeri.

Azizi berkata, selain mengadakan bacaan khutbah di masjid terpilih ketika perayaan tertentu seperti Hari Polis, pihaknya juga akan mengadakan tazkirah sebelum khutbah Jumaat.

Sebagai permulaan, polis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak mengadakan tazkirah di 181 buah masjid di seluruh negeri secara berkala di bawah Program Kepolisian Komuniti.

Menurut Azizi, antara perkara yang akan disampaikan dalam tazkirah itu ialah mengenai jenayah komersial seperti scammer dan penipuan-penipuan lain.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 70 kes jenayah berlaku di masjid seluruh Perak.

Katanya, daripada jumlah itu, 49 adalah kes curi tabung masjid dan 10 kes curi motosikal di samping
curi peralatan surau (3), bergaduh (4), pecah masuk masjid / surau ()2 kes dan masing-masing satu kes merusuh curi pecah cermin kereta.

“Inilah antara mesej yang akan disampaikan supaya jawatankuasa masjid sentiasa berwaspada dari segi keselamatan masjid dan sentiasa membuat pemantauan,” ujarnya.