IPOH: Kelab Bakti Gunung Kledang bersama Puncak Emas Infra Sdn. Bhd telah nenganjurkan program
‘Back To School’ di dua tempat berasingan pada Khamis iaitu di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darulsalam dan Perkampungan Orang Asli Kg Lalang.
Puncak Emas Infra Sdn Bhd berbesar hati menyumbangkan 100 set kelengkapan persekolahan di samping menaja pembukaan akaun Tabung Haji.
Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Hamzah Md Hamdan berkata, sumbangan berupa keperluan sekolah seperti pakaian, beg, tali pinggang, tudung, stokin dan kasut sekolah.
Menurutnya,sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa dan juga penjaga yang terlibat.
“Kami merakamkan terima kasih kepada pihak syarikat dan berharap ada lagi syarikat lain yang tampil untuk bersama membantu usaha membentuk anak-anak Perak berjaya dalam pendidikan, seterusnya dalam kehidupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, pembangunan modal insan merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan oleh KBGK dan Puncak Emas bagi membantu komuniti melahirkan generasi yang berilmu, mahir dan
cemerlang dalam pendidikan.
Dalam masa sama, katanya, isu tekanan mental juga perlu
dititikberatkan selain dari asbab kemiskinan.
“Hari ini kita lihat ramai orang pada
fizikalnya normal, tetapi hakikatnya jiwa mereka tertekan dengan keadaan semasa dan ia dibimbangi
merebak kepada generasi muda.
“Oleh itu kita perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing untuk terus memberi semangat serta keceriaan kepada para pelajar, sekaligus membantu mengurangkan tekanan kehidupan mereka,” ujarnya.