Kanak-kanak lima tahun maut didera, ibu bapa angkat direman enam hari

Berita Perak

IPOH: Sepasang suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanan perempuan berusia lima tahun maut, dipercayai didera.

Majistret S. Punitha membenarkan kedua-dua suspek yang merupakan ibu bapa angkat mangsa, direman sehingga Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berumur 27 tahun dan suaminya berumur 66 tahun, ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Terdahulu, katanya, kira-kira jam 9.45 pagi, pihak polis menerima panggilan daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, mengenai mangsa yang dibawa dari Taman Malkop, Silibin, ke wad kecemasan zon merah untuk bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis Daerah Ipoh telah pergi ke lokasi kejadian di sebuah rumah bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan dan disyaki telah dipukul menggunakan objek tumpul.

Tambahnya, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 3.30 petang semalam, didapati punca kematian adalah disebabkan ‘multiple blunt injuries’.

Di samping itu, kata Abang Zainal Abidin, terdapat luka koyak dan lebam pada salur peranakan luar dan dubur mangsa

Sehubungan itu, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut, diminta tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihak polis memandang serius kejadian itu dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa juga keadaan da tidak melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.