Kanak-kanak lelaki lemas jatuh tasik: Orang ramai diminta salur maklumat

Berita Perak

SERI ISKANDAR: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kes kanak-kanak dua tahun yang lemas di tasik Masjid Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt. Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Bahagian Keselamatan UTP pada jam 1.15 tengah hari.

“Dikatakan sepasang suami isteri mengatakan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah hilang semasa berada di masjid tersebut.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) masjid mendapati, terdapat kelibat mangsa sedang berjalan ke arah tasik masjid itu.

“Pasukan bomba Perak Tengah dibantu unit skuba Bomba Ipoh memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, mangsa berjaya ditemui jam 4.25 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Setelah itu, katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Bota dan bedah siasat dijalankan pada jam 10 malam hari sama bagi mencari punca kematian.

Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mati lemas setelah dipercayai jatuh ke dalam tasik di lokasi berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dan keluarga berada di masjid tersebut untuk menunaikan solat.