Kanak-kanak 12 tahun saksi ayah tikam ibu, jalani rawatan di HRPB

Berita Perak

SERI ISKANDAR: Kanak-kanak perempuan 12 tahun yang menyaksikan sendiri ayahnya menikam mati ibunya pada Rabu, sedang menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kanak-kanak perempuan itu telah dibawa oleh pihak Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kanak-kanak tersebut kita telah bawa ke hospital sebab kita bimbang dia juga ada kecederaan fizikal, sama ada luaran ataupun dalaman.

“Jadi kita bawa dulu ke hospital dan JKM memang bersama untuk kita melihat dahulu keperluan sesi kaunseling.

“Yang penting sekarang ialah soal keselamatan dan kesihatan kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui pada program ‘Open Mic Kak Sal’ bersama usahawan di sini, hari ini.

Menurut Salbiah, setakat ini beliau belum menerima laporan sama ada kanak-kanak berkenaan mengalami sebarang kecederaan atau tidak.

Katanya, selepas proses rawatan dan pemeriksaan, ia akan disusuli dengan sesi kaunseling bagi melihat kesan psikologi kanak-kanak tersebut.

Selepas itu, ujar beliau, pihaknya akan mengenal pasti keperluan penempatan kanak-kanak malang berkenaan.

“Kalau dia ada saudara yang terdekat yang boleh untuk menjaganya, ok lah tetapi kalau tak ada, baru kita akan tempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak.

“Setakat ini yang saya dimaklumkan oleh JKM nampak, macam datuk dan nenek dia yang macam nak ambil tanggungjawab itulah,” jelasnya.

Dalam kejadian pada Rabu, kanak-kanak itu menyaksikan bapanya memukul dan menikam emaknyq sehingga mati dalam kejadian di rumah mereka di Laluan Simee 11, Kampung Simee, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat diterima daripada orang awam jam 9.26 pagi selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Menurutnya, mangsa berusia 48 tahun ditemui terbaring di kawasan garaj rumahnya dengan tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.

Suspek yang berusia 56 tahun itu kemudian direman seminggu sehingga Rabu depan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.