IPOH: Kerajaan Perak mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjalankan siasatan insiden seorang pelajar cedera di tangan akibat tertusuk besi pemegang berkarat di tangga sebuah sekolah, di sini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa simpati terhadap pelajar berkenaan.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil berhubung perkara itu.
Menurutnya, selain itu, JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara juga akan membuat penilaian bagi mengenal pasti bagaimana kejadian itu berlaku mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Keadaan fizikal sekolah itu perlu diberi perhatian khusus kerana ia melibatkan keselamatan pelajar.
“Kita tidak akan berkompromi dan mengharapkan supaya pihak sekolah dapat membuat laporan segera berkaitan dengan kerosakan yang di bangunan tersebut,”katanya kepada pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja di sini, malam tadi
Beliau mahu PPD Kinta Utara dapat menyediakan laporan penuh berhubung insiden berkenaan.
Beliau turut mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi prosedur dengan mengemukakan laporan segera apabila berlaku kemalangan membabitkan pelajar.
“Setiap kali berlaku kecederaan terhadap pelajar, sekolah mesti mengemukakan laporan mengikut SOP, satu hari, tiga hari dan tujuh hari.
“Ini bagi memastikan PPD dan JPN mendapat maklumat yang tepat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada mana-mana sekolah yang cuba menyembunyikan kejadian seperti ini.
Semalam, ibu kepada seorang pelajar mendakwa tangan anaknya mengalami kecederaan akibat tertusuk besi pemegang berkarat di tangga sebuah sekolah di sini pada Khamis lalu.
Akibat kecederaan itu, wanita berkenaan mendakwa terpaksa membawa anaknya ke hospital swasta dengan kos hampir RM10,000 selepas gagal menerima rawatan segera di hospital kerajaan.