IPOH: Seramai 39 orang warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di 17 premis sekitar daerah Kinta, di sini.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak itu bermula pada Selasa dan tamat awal pagi Rabu.
Menurut Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, serbuan dibuat berdasarkan aduan serta pemantauan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi di semua lokasi tersebut.
“Pemeriksaan dilakukan di sebuah premis kilang, empat premis gunting rambut, sebuah premis pasar mini.
“Tiga premis makanan, sebuah premis rumah kedai, sebuah premis cucian kenderaan dan enam enam premis rumah kediaman.
“Seramai 18 Pegawai Imigresen memeriksa 101 orang warga asing dan 39 daripadanya ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan.
Selain itu, 17 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.
“Semua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh, bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.
“Kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
“Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal/berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan,” katanya.
Tambah Meor Hezbullah, pihaknya berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu JIM membanteras kebanjiran PATI dalam negara.