IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menggempur sebuah satu pusat pelacuran dan pusat hiburan dalam Op Gegar di sekitar Ipoh mulai malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan yang telah dijalankan oleh Unit Risikan JIM di kesemua lokasi tersebut.
Menurutnya, dengan kekuatan anggota seramai 25 orang Pegawai Imigresen, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 40 orang warga negara asing dan 21 orang warga tempatan.
“Seramai 24 orang warga negara asing telah ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 18 orang wanita dan seorang lelaki warga Thailand serta lima wanita warga negara Vietnam, yang berumur antara 20 hingga 50 tahun.
Menurutnya, kesemua mereka telah ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang dikeluarkan.
“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.
Meor Hezhullah berkata, JIM Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.
Beliau memberi amaran, selain PATI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mereka, termasuk pendakwaan di mahkamah.