Jenazah bekas Exco Perak, Azman Mahalan selamat dikebumikan

Berita Perak

IPOH: Jenazah bekas Exco Kanan Perak, Datuk Azman Mahalan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, kira-kira jam 5.30 petang Ahad.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Azman, 82, disembahyangkan di Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia selepas solat Asar.

Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua di kediamannya di Rapat Setia di sini, kira-kira jam 11.05 pagi.

Allahyarham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning selama empat penggal dari tahun 1986 hingga 2004 dan menjadi Exco semasa pentadbiran Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Kamsiah Ahmad Kusri, 76, lima orang anak, lapan cucu dan tiga cicit.

Kira-kira 100 orang ahli keluarga dan sahabat handai, termasuk ADUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin turut mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan.

Menurutnya, Ishsam, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana keadaan kesihatannya sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Allahyarham juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah selama 20 tahun sejak 1984 dan telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.