Ipoh mahu miliki paling banyak taman eko batu kapur di Malaysia

Berita Perak

IPOH: Ipoh mahu menjadi bandaraya yang memiliki paling banyak taman eko batu kapur di negara ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat masa ini, terdapat beberapa taman eko telah dibangunkan sebagai tapak produk pelancongan.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sendiri telah membangunkan tiga taman eko batu kapur iaitu di Tasik Cermin, Gunung Lang and Gunung Matsoorat.

“Kita akan bangunkan lagi dua tiga kawasan dengan harapan kita akan jadi bandaraya paling banyak taman eko batu kapur dalam Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama media di perkampungan budaya di taman eko batu kapur di sini, pada Jumaat.

Beliau memberitahu, MBI juga akan membina jalan alternatif bagi menyelesaikan rungutan penduduk mengenai gangguan trafik di kawasan berkenaan.

“Pembinaan jalan baru ini, yang terpaksa dihentikan selepas isu yang dibangkitkan penduduk, tidak akan menyebabkan kesesakan di kawasan perumahan.

“Jalan ini akan membolehkan kenderaan tidak melalui kawasan perumahan di samping kita akan tambah kawasan parkir,” ujarnya.

Rumaizi berharap, pembinaan jalan tersebut akan disambung semula secepat mungkin, sebelum Tahun Melawat Perak 2024 bermula.

Mengenai keselamatan produk pelancongan di kawasan batu kapur itu, beliau berkata, pengusaha perlu mendapatkan laporan daripada juru perunding batu kapur yang disahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Ini adalah antara keperluan yang perlu dipatuhi kerana kita mahu memastikan ciri keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.