IPOH: Keunikan dan kepelbagaian makanan di bandar raya Ipoh menerima pengiktirafan apabila ia disenaraikan sebagai salah satu daripada lapan bandar dengan makanan paling underrated (tidak banyak dibicarakan, tetapi bagus) di Asia.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, senarai serta pengiktirafan itu dibuat oleh majalah Tatler.
“Ia jelas menggambarkan status Ipoh sebagai syurga makanan di Malaysia yang telah diperakui di persada antarabangsa.
“Turut tersenarai ialah Fukuoka (Jepun), Hué (Vietnam), Iloilo (Filipina), Gwangju (Korea Selatan), Hualien (Taiwan), Surabaya (Indonesia), dan Luang Prabang (Laos),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mac di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini pada Jumaat.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Status Kemampanan Bandar 2024 di Perak menunjukkan 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mendapat status Mampan termasuk MBI.
“MBI juga melakar kejayaan apabila merangkul anugerah bagi pencapaian status Bandar Mampan 2024 pada Oktober tahun lalu.
“Dengan kejayaan itu, MBI sekali gus menjadi antara PBT di Perak yang menerima pengiktirafan berkenaan di bawah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya lagi.





