Inisiatif keberkatan Ramadan: PUO, YADIM teruskan tradisi sumbangan

Berita Perak

IPOH:Seramai 100 kakitangan sokongan Politeknik Ungku Omar (PUO) termasuk pemandu, pegawai keselamatan dan pekerja pembersihan menerima sumbangan kotak rahmah barangan keperluan asas serta wang tunai sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Menurut kenyataan PUO, penyampaian sumbangan adalah sempena Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana PUO 1445H/2024M yang merupakan kemuncak program Ihya Ramadan 2024 anjuran Pusat Islam PUO dan YADIM dengan kerjasama Koperasi Politeknik Ungku Omar Berhad, Unit Kolej Kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP PUO).

Menurutnya, YADIM selaku rakan strategik PUO dan penganjur bersama majlis itu turut menaja penyediaan 1,200 bungkus bubur lambuk yang diagihkan kepada para pelajar serta komuniti di tapak Bazar Ramadhan Taman Chempaka, Ipoh sekitar jam 3.30 petang semalam.

“Penganjuran program ini sangat signifikan bagi mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara pelajar dan pihak pengurusan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga PUO seterusnya menghidupkan amalan ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

“Program ini turut memberi peluang kepada warga PUO dan YADIM untuk sama-sama menyantuni pelajar-pelajar asnaf dan kakitangan B40 dengan memberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada mereka,” katanya.

Menurutnya. Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya YADIM atas sumbangan yang diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan di PUO.

“Inisiatif seperti ini juga memperlihatkan PUO bukan sahaja menjadi sebuah institusi TVET terunggul tetapi juga sebuah institusi pendidikan yang cakna dan prihatin terhadap keperluan masyarakat di sekelilingnya.

“PUO sentiasa komited memainkan peranan penting dalam memperkukuh komuniti, mengangkat nilai-nilai kepekaan sosial serta tanggungjawab masyarakat,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya 600 orang pelajar dan warga PUO telah hadir ke majlis ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan PDr Shamsuri dan turit dihadiri Pengarah YADIM Negeri Perak, Ramdani Abd Karim.