Iftar Ramadan Santuni Madani erat silaturahim golongan asnaf, pelajar dihargai

Berita Perak

CHANGKAT JERING: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Program Iftar Ramadan Santuni Madani di Surau Ulu Batas, Bendang Siam, dekat sini, semalam.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, hadir bagi menyantuni golongan asnaf dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Siam serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada mereka.

Sumbangan berbentuk wang tunai diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Muafakat POLYCC dan individu, manakala kedai rangkaian serbaneka 99 Speedmart menaja sumbangan bakul makanan.

Selain itu, pelajar POLYCC Zon Perak turut menerima sumbangan berupa sampul Syawal.

Dalam ucapannya, Mohd Zahari merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan sumbangan dalam menjayakan program itu.

Santuni Madani merupakan inisiatif bagi meningkatkan potensi kampung serta memperkukuh keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung dan sesi libat urus bagi mengenal pasti cabaran sosioekonomi serta keperluan penduduk setempat.

Turut hadir ialah Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO) merangkap Pengerusi POLYCC Zon Perak, Dr. Shamsuri Abdullah, bersama Pengarah-pengarah POLYCC Zon Perak serta pemimpin masyarakat setempat.

Program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima sumbangan, malah turut mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti.