Hujan ribut jejas lima buah kampung di Taiping

Berita Perak

TAIPING: Hujan lebat yang disertai angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang di samping bumbung rumah diterbangkan di lima buah kampung di sini, pada petang Khamis.

Lima kampung terlibat ialah Kampung Setia, Simpang; Kampung
Kuala Sepetang; Kampung Menteri;
Kampung Matang Road dan Kampung Dew.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Daerah Taiping, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.30 petang.

“Berlaku hujan lebat bersama angin kencang menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan ribut di kawasan-kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya lagi, sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan, iaitu dua di kuaters Klinik Kesihatan Kuala Sepetang, lima di Kampung Menteri dan tiga di Kampung Setia, Simpang.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

“Anggota masih di lokasi bagi membuat pemantauan di kampung-kampung lain yang terlibat,” ujarnya.

Keadaan cuaca ketika ini dilaparkan hujan rintik.