Harimau belang jantan masuk perangkap Perhilitan Perak

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Seekor harimau belang jantan dianggarkan seberat 75 kilogram memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di ladang dekat Jalong, di Sungai Siput, pada Rabu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya memasang perangkap itu sejak 20 Jun lalu selepas menerima aduan penduduk berkaitan ternakan mereka diserang haiwan liar.

Menurutnya, sebaik menerima aduan, pihaknya menjalankan siasatan di lokasi yang dikenal pasti sebelum memasang perangkap.

“Kira-kira jam 1.30 petang Rabu, Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput terima laporan harimau belang itu telah masuk ke perangkap yang dipasang,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati harimau itu dalam keadaan sihat dan dipercayai dari hutan berhampiran di Hutan Simpan Bukit Kinta .

Yusoff berkata, harimau belang itu akan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut.