IPOH: Hampir 1,000 warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh termasuk ketua pengarah jabatan berkaitan memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Balai Polis Sentral IPD tersebut di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Balai, Balai Polis Sentral IPD Ipoh, ASP Mohamad Sahran Termizi, jamuan itu bukan sahaja untuk meraikan Syawal, tetapi juga mengeratkan silaturahim.
Katanya, para hadirin dijamu dengan pelbagai menu menarik seperti nasi vanggey, nasi minyak, kambing golek dan sate.
“Kita anjurkan majlis ini dan alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan selesai jam 4 petang, kita hidangkan sebanyak 12 menu kepada hadirin.
“Jamuan ini dihadiri oleh seluruh warga IPD Ipoh dan diserikan dengan kehadiran ketua pengarah jabatan lain seperti Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Pengurus Bank Simpanan Nasional Negeri Perak dan tidak ketinggalan Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
“Selain itu turut sama bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad,” katanya ketika ditemui di majlis itu pada Khamis.