Guna logo halal tidak sah, lagi kilang makanan bakal dikenakan tindakan

Berita Perak

IPOH: Sebuah lagi kilang makanan di Taping bakal dikenakan tindakan kerana menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia hasil pemeriksaan di sebuah kilang memproses makanan di Taman Glenview, Kamunting, dekat sini, kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, didapati kilang itu mengeluarkan produk makanan iaitu sekaya (jem).

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir mendapati terdapat logo halal pada bungkusan sekaya dan ia dipercayai untuk edaran jualan di sekitar Perak dan Pulau Pinang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Kamalludin. satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa
kebenaran pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Menurutnya, sebanyak 65 unit produk sekaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik yang tertera
logo halal yang tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.

Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan RM452.25 dan kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.

Pada 4 Julai, sebuah kilang biskut di Taiping diserbu setelah dipercayai menggunakan sijil halal tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.

Sebelum itu, pada 26 Jun, sebuah kilang makanan yang memproses biskut dan roti di Jalan Pasar, Teluk Intan diserbu setelah menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.