Geran Usahawan Perak Sejahtera 2024 dilancar

Berita Perak

IPOH: Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) 2024 dilancar yang akan memberi manfaat kepada lebih 600 usahawan kecil di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak
Datuk Salbiah Mohamed berkata, permohonan GeRAK dibuka bermula hari ini sehingga 5 Mei depan.

“Geran ini terbuka kepada semua usahawan dalam kategori informal, mikro dan kecil yang beroperasi secara sah di Perak sahaja.

“Geran GeRAK 2024 adalah bantuan geran “ one off ” dengan jumlah maksimum berjumlah RM2,000,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan geran itu di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli serta
ketua-ketua jabatan agensi usahawan Perak serta persekutuan.

Menurut Salbiah, GeRAK dilaksanakan oleh Sekretariat STeP dengan kerjasama 25 agensi usahawan lain.

“Ia bertujuan untuk membantu usahawan PMKS Negeri Perak meningkatkan kapasiti, keupayaan pengeluaran, produktiviti, sistem, pemasaran, jenama dan pembungkusan usahawan terlibat ke tahap yang lebih berkualiti dan baik,” ujarnya.

Beliau berkata, geran itu antara untuk pembelian peralatan bagi permulaan perniagaan, pendaftaran pensijilan khas seperti MeSTI, halal dan GMP,
yuran penyertaan bagi kursus yang berkaitan dengan peningkatan produktiviti dan pemasaran.

Menurutnya, antara syarat permohonan geran ini ialah mempunyai SSM berdaftar di Perak, warganegara Malaysia dan tidak menerima geran tahun lalu.

Permohonan dan syarat lengkap permohonan boleh dirujuk dan dibuat di link
https://step.perak.my/sme/