Gelombang kedua: Mangsa banjir dinasihat kekal di PPS

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Mangsa banjir yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sungai Siput dinasihatkan agar tidak pulang ke rumah mereka berikutan gelombang kedua yang telah bermula sejak malam Selasa.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, taburan hujan tinggi dan pelepasan terkawal dari empangan di Sungai Perak menyebabkan beberapa kawasan kembali dinaiki air.

Menurutnya, ada beberapa penduduk yang kembali ke rumah masing-masing untuk mengambil barang dan mencuci rumah, dilaporkan telah terkandas malam tadi.

“Gelombang kedua telah berlaku malam tadi sehingga pagi ini tapi tidak sebesar berbanding Ahad yang lalu.

“Jadi kita minta mangsa banjir berada di PPS, jangan balik ke rumah masing-masing dan terus berada di PPS sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Di PPS sedikit sebanyak semua kemudahan telah disediakan walaupun ada kekurangan tetapi dari segi keselamatan, kesihatan dan sebagainya, mereka lebih baik berada di PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program penyerahan bantuan kepada 400 ketua isi rumah yang terjejas banjir di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, di sini, hari ini.

Barangan keperluan seperti toto, selimut, bantal serta makanan itu disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Air Perak.

Setakat jam 6 petang, terdapat 817 orang mangsa banjir dari 258 keluarga masih berlindung di tiga PPS di Sungai Siput iaitu Sekolah Kebangsaan Lasah menempatkan 223 mangsa, Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong (380 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah (214 orang).