Gara-gara cemburu, lelaki parah ditetak parang

Berita Perak

TAIPING: Gara-gara cemburu, seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah setelah ditetak dengan sebilah parang dalam kejadian di Jalan Dew, Simpang yang berlaku pada Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menerima laporan dari seorang wanita berhubung kejadian tersebut pada Rabu jam 7.20 malam.

Katanya, susulan itu, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut berjaya ditangkap.

“Laporan polis dibuat oleh seorang pengadu iaitu wanita yang merupakan isteri suspek.

“Mangsa yang parah ditetak telah dihantar ke Hospital Taiping bagi menerima rawatan.

“Susulan daripada maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Taiping telah digerakkan bagi mengesan suspek dan berjaya menangkap seorang lelaki dalam masa kurang 24 jam.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat mendapati motif kejadian berpunca akibat perasaan cemburu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Mohamad Nasir berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat Taiping khususnya untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.