IPOH: Dua pemancing tempatan yang berdepan detik cemas berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin pada jarak 0.7 batu nautika barat daya Pulau Katak, berhampran Lumut, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, dalam kejadian itu, salah seorang mangsa telah menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak bagi meminta bantuan kerana enjin bot tersebut tidak dapat dihidupkan dan sedang hanyut kerana bot yang dinaiki tiada sauh untuk dilabuhkan.
Menurutnya, sejurus menerima aduan tersebut, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan dan
memberi bantuan kepada mangsa tersebut.
“Mangsa, Muhammad Nurafiq Ahmad, 25 dan Muhammad Iqhwan Mazlan, 26, telah ditemui dalam keadaan baik dan selamat serta bot telah diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Beliau menyarakan agar komuniti maritim membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut dan menangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan laut bergelora.
Beliau turut minta agar mereka memastikan bot dalam keadaan baik serta dilengkapi dengan
peralatan seperti jaket keselamatan, alat komunikasi dan peranti Personal Located
Beacon (PLB) untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian
05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.