Enggan jual, sorok minyak masak peket, KPDN serbu pasar raya

Berita Perak

TELUK INTAN: Enggan menjual malah menyembunyikan sebanyak 388 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi.

Itu tindakan tidak bertanggungjawab sebuah pasar raya di sini yang akhirnya diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak.

Menurut Pengarah KPDN Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan itu dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Teluk Intan pada Rabu.

“Tindakan itu merupakan aduan daripada orang awam yang mendakwa penjual menyembunyikan minyak masak dan enggan menjual ketika diminta.

“Bagi memastikan aduan tersebut berasas, pemeriksaan uji beli melalui Ops Samar dilakukan di pasar raya itu.

“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan bahawa minyak masak peket 1kg telah kehabisan stok.

“Susulan itu, sepasukan penguat kuasa beruniform telah masuk ke dalam premis dan memeriksa ruangan dan rak jualan, namun mendapati minyak masak peket tiada bekalan.

“Pemeriksaan lanjutan dibuat di dalam stor simpanan barang milik premis dan menjumpai minyak masak paket 1kg dengan anggaran sebanyak 388 kg,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

Selain itu, katanya, 388 kg minyak masak peket yang ditemui disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM970.

Ujarnya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.