Enggan jual barang kawalan, peniaga bakal dikenakan tindakan

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak hari ini mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah premis yang didapati enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak paket bersubsidi di Tanjung Rambutan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu adalah hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada pengadu.

Menurutnya, hasil maklumat itu, kira-kira jam 12 tengahari, pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN
Perak telah membuat uji beli melalui Ops Samar.

“Semasa uji beli dilakukan, juruwang memaklumkan bahawa minyak masak telah habis dijual dan diminta untuk datang semula pada sebelah petang jika mahukan minyak masak tersebut.

“Tidak berpuashati dengan jawapan tersebut, pegawai dan Penguat Kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu telah ditemui sejumlah minyak masak paket yang disimpan di dalam stor premis berkenaan.

Berikutan penemuan tersebut, ujarnya, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

Selain itu, kata Kamalludin sebanyak 1,248 kilogram minyak masak paket yang ditemui tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,120.

Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.