SukanIPOH: Enam operasi pembersihan serta tiga tindakan mahkamah, masih tidak mengubah sikap seorang penghuni premis di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini sehingga Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) terpaksa sekali lagi melaksanakan operasi bersepadu penghapusan kacau ganggu semalam.
Pemilik premis, seorang wanita warga emas berusia 69 tahun, didapati terus mengumpul dan menyimpan barangan kitar semula di halaman rumah teres satu tingkat secara tidak terkawal.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Mohd Saleh berkata, itu bukan sahaja mencetuskan kacau ganggu persekitaran, malah boleh menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.
Mengikut rekod MBI, sejak 2016, sebanyak enam operasi pembersihan telah dilaksanakan di premis berkenaan, selain pemilik turut dikenakan tiga tindakan mahkamah melibatkan hukuman denda serta perintah mahkamah.
“Namun begitu, semua tindakan tersebut gagal menghalang pemilik daripada mengulangi perbuatan sama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, dalam operasi terbaharu ini, sebanyak lima lori tujuh tan bersama sebuah jengkaut digerakkan dengan kekuatan 27 anggota pembersihan.
Menurutnya, pelbagai barangan termasuk plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dan operasi diselesaikan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“MBI tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang terus mengabaikan arahan sehingga mengancam kesihatan awam dan keselamatan persekitaran.
“Tindakan penguatkuasaan ini adalah demi kepentingan bersama,” katanya.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Zamakhshari, penglibatan agensi kerajaan berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat dialu-alukan bagi merangka penyelesaian jangka panjang secara holistik bagi memastikan isu seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
“MBI kekal komited dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga Ipoh sentiasa terpelihara melalui penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan berterusan,” ujarnya.





